Friday 18 March 2011

Who's who di dalam dunia Ahlulbait a.s.




Ijtihad
        Dari segi bahasa Ijtihad bererti berusaha sehingga setakat had kemampuan yang terdaya.  Di dalam istilah Fikah, Ijtihad bererti menggunakan daya usaha di dalam memahami hukum-hakam dan kanun-kanun syarak dari sumber-sumber dan dalil-dalil Istinbath ( amalan-amalan untuk mendapatkan hukum ) .  Dan yang berlawanan dengan Ijtihad pula ialah Taqlid yang bererti beramal dengan bersandarkan kepada Faqeh yang tertentu.         

Kategori-Kategori Faqeh
( penerangan ini di ambil daripada kitab Ar-Rasa'il )

1. FAQEH
                 Ialah seorang yang mempunyai daya kekuatan beristinbath, maka di dalam tanggungjawab berkaitan dengan syarak ianya tidak merujuk atau bertaqlid kepada orang lain sebaliknya ia mampu mengeluarkan hukum-hakam daripada dalil-dalil yang ada.

2. MUJTAHID

                  Ialah seorang yang ( mampu ) beramal mengikut pandangannya.  Di dalam keadaan ia mendapati sesuatu hukum yang sebenarnya dan tepat maka ada ganjaran pahala baginya.  Sebaliknya apabila tidak bertepatan dengan yang sebenarnya maka dirinya adalah ma'zur ( ada keuzuran / kemaafan ).  Yang dimaksudkan beramal mengikut pandangan ialah mendapatkan ( memahami ) hukum-hukum syarak dengan melalui jalan-jalan yang muta'araf dan sedia ada disisi ulama' Fikah.
                   Dan ianya boleh dicapai dengan mendapatkan muqaddimah-muqaddimah Ijtihad ( pendahuluan-pendahuluan Ijtihad )

Muqaddimah-Muqaddimah Ijtihad
( teradapat 10 perkara )

a.           Ia hendaklah mempelajari ilmu-ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab yang mencukupi.
b.          Ia hendaklah juga mengenal akan bahasa pertuturan masyarakat arab yang mana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri telah diucapkan kepada masyarakat tersebut dan berhati-hati supaya tidak mencampur -baurkan kefahaman yang aqliah dan ilmiah dengan kefahaman yang biasa.
c.           Ia hendaklah mempunyai ( mengenali ) ilmu Mantik ( logik ).
d.           Ia hendaklah mempunyai pengetahuan berkenaan masalah-masalah penting di dalam perkara-perkara Usul Feqah, yang mana ini amat berkesan sekali di dalam memahami hukum-hukum Syarak.
e.           Ia hendaklah mengetahui Ilmu Rijal sekadar yang mencukupi didalam menentukan riwayat-riwayat.
f.            Ia mestilah berpengetahuan di dalam Al-Quran dan Sunnah yang mana kedua-duanya lebih penting dari yang lainnya di dalam melakukan kerja-kerja beristinbath ( mngeluarkan hukum-hukum Syarak ).
g.           Ia hendaklah mempunyai latihan beristinbath supaya terhasil bagi dirinya daya kekuatan untuk beristinbath.
h.           Ia hendaklah membuat pengkajian yang mencukupi tentang ( kata-kata ) khususnya pandangan-pandangan Faqeh-Faqeh yang terdahulu, supaya ianya tidak bertentangan dengan Shohrah (masyur ) dan Ijmak.
i.             Ia hendaklah mengkaji fatwa-fatwa dan riwayat-riwayat Ahli sunnah khususnya berkenaan dengan ( riwayat-riwayat yang bertentangan ) yang mana kajian tersebut amat berguna di dalam memahami hukum-hakam kepada diri mujtahid itu sendiri.
j.             Ia juga hendaklah menggunakan segala daya upaya yang secukupnya di dalam perkara-perkara mengistinbathkan hukum-hakam.

                      Apabila dengan syarat-syarat yang disebutkan diatas tadi telah diistinbathkan hukum-hakam, maka bolehlah mujtahid tersebut beramal dengan apa yang telah dihasilkan tadi.  Sekiranya istinbathnya tadi tidak menepati yang sebenarnya, beliau adalah dimaafkan.

3. MUFTI

            Ialah seorang Mujahid yang berijtihad dengan syarat-syarat yang di atas tadi dan mengistinbathkan hukum-hukum yang ( sebenarnya ) ataupun hukum yang zahir sebagaimana ia sendiri boleh beramal dengan yang dihasilkannya itu, ia juga boleh berfatwa dengannya.


4. MARJA'I FATWA ( PAKAR RUJUK )


Ia hendaklah mempunyai beberapa syarat :


a) Ia hendaklah seorang Mujtahid yang Alim ( beriilmu ) ,di dalam keadaan yang mungkin, seorang 'Alam iaitu kepakarannya di dalam masalah-masalah fikah melepasi mujtahid-mutahid yang lain.

b) Ia hendaklah seorang adil dan wara' ( yakni sifat yang sebati dengan diri eseorang yang sentiasa menarik seseorang itu kearah Takwa, meninggalkan perkara--perkara yang haram di samping menjalankan perkara-perkara yang wajib )

c) Ia bukanlah terdiri daripada seorang yang mengejar harta,gilakan kuasa atau tamak kepada dunia ( secara ihtiat ) . Seperti yang telah disebutkan dalam sepotong Hadis:

"Fakih yang menjaga dirinya,memelihara agamanya,menentang hawa nafsunya,taat kepada perintah ilahi,maka bagi orang-orang awam hendaklah bertaqlid kepadanya"

          ( Penerangan oleh Imam Khomeini didalam Tahrir Wasilah ,jilid 1 )

5. QADHI

           Ialah seorang Faqeh yang adil serta mengetahui undang-undang/kanun kehakiman yang mana hukumannya menyelesaikan permasalahan dan perbalahan.
6. WALI FAQEH  
            Ialah seorang yang mempunyai pengetahuan tentang siasah-siasahagama dan seorang yang mendirikan keadilan sosial di kalangan masyarakat.
           Menurut riwayat , ianya adalah " Kubu Islam " dan "pewaris nabi-nabi" serta Khalifah Rasulullah saw juga seperti nabi-nabi Bani Israel yang merupakan makhluk Allah s.w.t yang paling baik selepas Imam-imam  ( A'immah ) di mana urusan-urusan hukum-hakam, arahan-arahan berada di tangannya dan ia juga 
pemerintah ( hakim ) ke atas pemerintah-pemerintah yang lain. Oleh kerana Islam merangkumi semua keperluan manusia ( politik,sosial,madani dan individu ) seperti yang ditunjukkan dalam hukum-hakam islam , maka ia mempunyai agenda-agenda di dalam semua perkara di atas.
Perbezaan di antara Wilayatul Faqeh dan Marja'e fatwa 
a)         Wali faqeh di samping berilmu tentang kanun-kanun/undang-undang ilahi,mempunyai keadilan dan berijtihad , ia hendaklah seorang yang matang di dalam selok-belok politik agama , berani serta berkemampuan dari segi pentadbiran secukupnya untuk tugas-tugas kepimpinan . Ia juga mestilah seorang yang amat sedar tentang masalah-masalah kemasyarakatan dan politik-politik semasa .
b)           Apabila seseorang wali Faqeh itu mengikut kemaslahatan rakyat, ia mengeluarkan sesuatu hukum/ arahan, maka adalah wajib ke atas semua anggota masyarakat tersebut untuk mematuhi walaupuns eseorang itu telah bertaqlid kepada mujtahid yang lain . . . .
                Seandainya seseorang yang memiliki keperibadian yang layak serta mempunyai dua sifat berikut, yakni :
- Ia berilmu dengan hukum-hakam Allah swt.
- Keadilan, lalu ia bangun membentuk sebuah pemerintahan maka wilayah ( kekuasaan ) yang dimiliki oleh Rasullullah saww di dalam perkara-perkara pengurusan kemasyarakatan juga dimiliki olehnya dan adalah menjadi tanggungjawab ke atas semua lapisan masyarakat untuk mentaati Wali Faqeh tersebut.
c)             Marja'e Fatwa di dalam sesuatu masa/ zaman boleh ramai bilangannya.  Setiap individu boleh bertaqlid kepada mana-mana mujtahid mengikut keyakinan masing-masing yang mana salah satu diantara syarat-syaratnya adalah A'lam dan lebih bertaqwa.
                   Sebaliknya Wilayatul Faqeh tidak boleh berbilang-bilang, yakni mestilah satu sahaja.  Oleh kerana jawatan ini merangkumi segala sudut ( politik, kebudayaan, ekonomi dan pertahanan serta sosial )   maka kesemuanya ini hendaklah mempunyai satu permusatan kuasa.  Jika tidak, akan terjadilah percanggahan dan perpecahan di dalam umat itu sendiri lalu wahdah ( perpaduan ) akan hancur.
                       Oleh itu kita lihat di dalam satu zaman tidak terdapat lebih dari seorang Imam.Imam Ar-Redha a.s di dalam kitab ilal syarai' telah menerangkan sebab-sebab tidak berbilangnya Imam pada satu zaman.
 d)                 Tugas Marja'e Fatwa ini sebenarnya adalah penerusan kerja-kerja Nubuwwah iaitu menyampaikan kanun-kanun Ilahi kepada orang ramai.  Manakala Wilayatul Faqeh pula adalah penerusan kerja-kerja Imamah yakni bertanggungjawab dari segi pelaksanaan serta menjalankan undang-undang.
e)                            Di antara syarat-syarat Marja'e Fatwa adalah a'lamiah ( yang paling berilmu ) tetapi bagi kepimpinan agama dan Wilayatul Faqeh a'lamiah dan aulawiyah ( keutamaan ) menjadi syarat yang penting . 


Petua : Imam Ridha a.s berkata : membaca '' YA ALLAM ALLIMNI '' selama tiga hari tiga malam sebanyak seribu kali lalu tidur dengan mempunyai wudhu' sesuatu yang tersembunyi bagi seseorang akan tersingkap di dalam mimpi atau jaga.       

1 comment:

  1. Kandungan artikel ini sering dipandang remeh walhal ia perkara asas yg paling penting dalam mazhab Ahlul Bait a.s...

    ReplyDelete