Thursday 14 July 2011

KES 'ASYURA 15 DIS 2010 AKAN DIDENGAR PADA OKT DAN NOV 2011




KENYATAAN AKHBAR

14 JULAI 2011

Kuang:  Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini, menetapkan perbicaraan kes dua orang tokoh Syiah pada 17, 18 dan 19 Oktober; dan 8,9, dan 10 November ini. Pada prosiding yang bermula agak lewat itu, menyaksikan pendakwaraya telah mengemukakan senarai 21 orang sebagai saksi pendakwaan.

Peguam bela bagi Mohd Kamilzuhairi, Mohamad Burok ketika dihubungi mengesahkan penangguhan kes ini. Sementara itu, Mohd Kamilzuhairi berkata, pihaknya komited untuk memberikan sebarang hujah balas terhadap pendakwaraya terutama terhadap isu-isu yang berunsur fitnah dan provokatif.

Disamping itu, Mohd Kamilzuhairi menyatakan kekesalan terhadap sikap serta pendirian JAIS yang masih meneruskan agenda yang jelas bertentangan dengan semangat persaudaraan dan perpaduan yang telah disepakati di peringkat Negara-negara OIC serta di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tindakan ini jelas mencabuli beberapa deklarasi antarabangsa serta Perlembangan Malaysia yang mana ini sudah pasti memburukkan imej Malaysia di mata dunia jika perkara ini masih berterusan.Secara tak langsung ia  akan mengakibatkan tekanan dunia  serta berbagai pihak yang prihatin terhadap hak asasi manusia ke atas  Malaysia di atas pencabulan yang telah dilakukan.
 Pada masa yang sama, beliau juga turut kesal di atas tindakan sebahagian ahli-ahli agama yang bersekongkol di dalam agenda terkutuk serta berniat jahat untuk menggagalkan agenda perpaduan umat Islam seluruh dunia yang mana telah sedia berhadapan dengan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan kerjasama semua pihak tanpa mengira mazhab untuk berhadapan dengan musuh umat Islam yang sebenar. Kita juga menggesa agar pelbagai pihak berwaspada dari menjadi tali barut Zionis antarabangsa.
Dengan ini kami berazam untuk meneruskan tindakan Mahkamah Sivil ke atas JAIS dan pihak-pihak yang bersekongkol di atas segala fitnah serta provokasi yang ditimbulkan oleh semua pihak yang terlibat.
Muhammad Mohsein Radmard diwakili peguam Abdul Halim Bahari.

Kedua-dua tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan jika disabit kesalahan, boleh didenda RM 3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh ditahan bersama 126 orang yang lain, semasa berada dalam sebuah majlis memperingati kesyahidan Sayyidina Hussein di Hauzah ArRidha pada 15 Disember 2010 lalu atas dakwaan mengamalkan serta menyebarkan Syiah.

Mazhab Syiah Imamiyyah (Ja’fari) merupakan mazhab yang diterima oleh semua anggota Organization of the Islamic Cooperation (OIC) selain perjanjian Amman Message yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

Pengikut serta pengamal Mazhab Syiah Imamiyyah (Ja’fari) ketika ini berjumlah 600 – 700  juta orang di seluruh dunia. Sambutan hari-hari kelahiran serta kewafatan AhlulBait Nabi Muhammad s.a.w. dijadikan sebagai kebudayaan dan warisan mazhab ini sejak awal penyebaran Islam.


ArRidha Press




SOLAWAT


No comments:

Post a Comment