Tuesday 26 July 2011

KENYATAAN MEDIA LAPORAN POLIS TERHADAP SEMINAR ANCAMAN SYIAH



KENYATAAN MEDIA


26 JULAI 2011
1:00pagi


LAPORAN POLIS TERHADAP SEMINAR ANCAMAN SYIAH


KUALA LUMPUR - Satu laporan polis telah dibuat oleh sebuah NGO bagi  komuniti Mazhab Syiah Imamiyah (Ja'fari), ARRIDHA terhadap satu  seminar yang akan dianjurkan pagi ini.

Laporan polis dibuat oleh Tuan Hj Mohd Kamilzuhairi Bin Abdul Aziz  bersama rakan-rakan beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi  sebentar tadi.

Seminar yang akan berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam itu,  berintipatikan bahaya ancaman Syiah pada masa kini, turut mengundang  penceramah dari Indonesia iaitu Ustad Farid Ahmad selain penceramah  tempatan, Ustad Mohd Asri Sobri.

ArRidha di dalam laporannya mendakwa seminar yang dianjurkan ini boleh  menggugat ketenteraman awam dengan mewujudkan fitnah yang menjurus  kepada perpecahan ummat Islam khususnya di Malaysia terutama akan  menjelangnya bulan mulia, Ramadhan Al-Mubarak.

Sikap penganjur juga diselar kerana mencabar kewibawaan Kerajaan  Malaysia dengan melanggar keputusan YB Senator Brigadier Jenaral Datuk  Sri Jamil Khir Baharom yang telah mengeluarkan kenyataan di dalam  Parlimen bahawa ajaran Syiah bebas diamalkan di Malaysia.

Keputusan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang mengiktiraf Mazhab  Syiah Imamiyah (Ja'fari) sebagai MAZHAB YANG SAH dan boleh diamalkan  tanpa gangguan mana-mana individu, turut dicemari dan kesepakatannya  dilanggar walaupun pada umumnya Pemimpin-Pemimpin tertinggi Malaysia  telah menadatanganinya.

Provokasi seperti ini turut dikhuatiri memiliki agenda pengganas  Wahabi yang tersembunyi. Hal ini tepat, memandangkan Majlis  Keselamatan Negara seperti yang diberitakan di media online pada  24Julai 2011, telah menyenaraikan individu-individu yang mempunyai  hubungan dengan pengganas Wahabi global.

Umum mengetahui, pengganas Wahabi begitu licik mengkambinghitamkan isu  Syiah sebagai jalan untuk mereka menyebarkan fahaman ekstrimis.  Bibit-bibit kebencian ditanam dan pelbagai fitnah dan hasutan dibuat  bagi mengaburi mata orang awam dan seterusnya perpecahan umat Islam  akan berlaku sama ada di kalangan Ahlussunnah mahupun antara  Sunni-Syiah.

Untuk itu, ArRidha mengkehendaki pihak Polis DiRaja Malaysia  melipatgandakan langkah proaktif dengan menghalang seminar ini bagi  membendung perpecahan demi kesetiaan kepada Yang DiPertuan Agong,  keamanan, dan kedaulatan undang-undang negara Malaysia tercinta dan  keamanan serta kedamaian seluruh dunia amnya.



MOHD KAMILZUHAIRI BIN ABDUL AZIZ
ARRIDHA

No comments:

Post a Comment