Saturday 6 August 2011

Kenyataan Zamihan Mat Zin







Pegawai Jakim: Wahabi dan Syiah sumber ancaman utama, perlu dibendung
Oleh G Manimaran
July 31, 2011
KUALA LUMPUR, 31 Julai — Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata Wahabi dan Syiah merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian secara menyeluruh untuk membendung kedua-dua fahaman itu agar tidak membawa kepada pemikiran radikal.
“Ancaman pemikiran terbesar di negara kita sekarang ialah Wahabi dan Syiah... pemikiran yang ekstrem... (kerajaan) perlu bendung bagi mengharmonikan amalan fahaman Sunah Waljamaah di Malaysia,” kata Zamihan Mat Zin, yang kini merupakan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia, agensi di bawah penyeliaan Jakim.
Zamihan, yang menjadi perhatian di sebalik polemik fahaman Wahabi sejak tahun lalu berkata, “jika tidak dibanteras, ia berpotensi untuk mengganggu-gugat sistem etika pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.”
Zamihan berkata mengikut kajiannya fahaman Wahabi dan Syiah masing-masing mempunyai pengikut sekitar sejuta orang.
Dalam satu pertemuan di pejabatnya di Bandar Baru Bangi baru-baru ini, Zamihan memberitahu The Malaysian Insider, jika dibiarkan ia akan “menyuburkan gejala ekstremisme agama sebagaimana berlaku di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Indonesia dan Chechnya.”
Sambil menarik perhatian kepada tindakan sesetengah pihak melakukan perkara itu dengan sokongan pihak luaran, beliau menambah, ada pendakwah yang menerima bantuan kewangan dalam bentuk elaun daripada menerusi kedutaan asing di sini untuk mengadakan aktiviti yang boleh menyuntik fahaman.
“Ada pendakwah menerima elaun bulanan, dalam jumlah besar... memang ada bukti. Memang pihak berkenaan akan menafikan, kalau saudara tanya mereka mesti menafikan, tetapi kami ada bukti,” kata beliau lagi.
Dalam ulasan sebelum ini, Zamihan mempertahankan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menegaskan, isu amalan Wahabi menjadi semakin serius.
Zamihan juga mendakwa sebelum ini bahawa amalan fahaman Wahabi berleluasa dengan mendapat perlindungan dan campur tangan ahli-ahli politik, malah menular ke agensi-agensi agama di peringkat nasional dan negeri.
MKN telah mengadakan mesyuarat khas Isnin lalu bagi membincangkan perkara tersebut. Difahamkan mesyuarat merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan dalam terorisme.
Mesyuarat itu susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi dan di Bukit Aman.
Ia telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.
Mereka ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.
Zamihan menjadi perhatian ekoran pendedahan media tahun lalu susulan satu sesi taklimat yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, Juanda, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider ketika itu, Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Berdasarkan laporan The Malaysian Insider semalam, Juanda Jaya melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan dan ajaran sesat.
Sebaliknya kata Jamil Khir, kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.
“Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.
“Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan,” kata beliau.
Jamil Khir berkata secara umumnnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.
Pertemuan dengan Zamihan berlangsung sehari sebelum kenyataan rasmi Jamil Khir itu.
Ditanya mengenai dakwaan berkaitan amalan Wahabi dengan hubungan diplomatik, Zamihan berkata, ini bukan soal hubungan dua hala akan terjejas ataupun sebaliknya.
Tetapi kata beliau, ia berkaitan dengan soal membantu menjaga keselamatan dan kepentingan bersama.
“Kalau anda datang ke sini, anda kena jaga sensitiviti kami. Begitu juga apabila kami pergi ke negara anda, kami kena menjaga sensitiviti dengan tidak membawa fahaman kami.
“Saya pasti mana-mana negara pun akan mengambil tindakan atau menghalau keluar jika rakyat negara lain membawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara dikunjungi,” kata beliau.
“Misalnya jika rakyat Iraq datang ke Malaysia dan membawa dadah, dan jika kita tangkap... adakah ia akan menjejaskan hubungan dua hala, hubungan diplomatik. Saya rasa tidak, jadi begitu juga dalam soal fahaman agama ini. Jangan bawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi sambil menambah, “ini bukan tuduhan, tetapi hakikat yang berlaku.”
“Mana-mana negara pun kena penyakit ini,” kata Zamihan yang turut berkata beliau telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2006.

MEMO

  

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Tuhan yang walaupun Zat Yang Maha Suci itu adalah Al-Muntaqim,Al-Mutakabbir,Al-Qahhar tetapi RahmatNya mengatasi segala-galanya dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya.

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Nabi Muhammad s.a.w yang baginda itu ialah Rahmatun Lil Alamin / Rahmat bagi sekalian Alam.

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Putera kelahiran Ka'bah Ali bin Abi Talib yang ditetak di Mihrab ibadah di bulan Ramadhan kerana Keadilannya.

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Penghulu Wanita Sekalian Alam Saidatina Fatimah Zahra Al-Mazlumah yang kuburannya tiada bertanda diabaikan umat ayahnya tapi keberkatannya semesta.

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Sayyidina Hassan, Ketua Pemuda Syurga yang melakukan perdamaian demi menyelamatkan agama dan umat nindanya s.a.w. yang riwayatnya diracun durjana.
                                                                                          
Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Saidina Hussein,cunda kesayangan Rasulullah s.a.w yang nyawa agama di kepalanya yang digadai di tanah gersang Karbala.

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada '' Tis'atun min Sulbika ''( Sembilan diri keturunan Husein zuriat pesanan dan warisan Nabi : Zainul Abidin,Al-Baqir,As-Sadik,Al-Kazim,Ar-Ridha,Al-Jawwad,Al-Hadi,Al-Askari yang semua mereka ialah Salaf dan Khalaf yang Soleh dari segala yang Soleh,lombongnya Makrifat dan Keilmuan,Siyasah,Akhlak,Hikmah dan Kesempurnaan.Amaanun Li Ahlil Ardhi ( Keamanan bagi penghuni bumi ).

Syiah ialah pencinta dan taat setia kepada Penyelamat Umat Manusia,Pemilik Urusan Akhir Zaman,Mahdinya Fatimah untuk memenuhkan muka bumi dengan keadilan setelah bergelumang dengan kezaliman.

Syiah ialah pencinta dan penganjur keadilan dan keamanan dan memusuhi penindasan,penganiayaan,pencerobohan,pelanggaran dan penjajahan.

Syiah ialah pencinta pencinta dan penganjur keadilan dan keamanan dan pencinta mereka yang memusuhi penindasan,penganiayaan,pencerobohan,pelanggaran dan penjajahan.

Syiah ialah pencinta dan penganjur keamanan sejagat.

Syiah ialah pencinta dan penganjur keamanan dan keselamatan negara dan tanah air.

Syiah ialah pencinta dan penganjur kedaulatan undang-undang.


SOLAWAT

Pencinta Nabi s.a.w dan Ahlul Bait a.s / kamilzuhairi.blogspot.com/ 6 Ogos 2011

1 comment: