Friday, 25 November 2011

A Glance to Short History & "Memorandum Syiah Kedah"




























































MEMORANDUM

KEPADA KERAJAAN NEGERI KEDAH

24 November 2011




Text Box: HENTIKAN SEGALA BENTUK PENGHINAAN DAN SPEKULASI YANG BERSIFAT MENGHINA MAZHAB SYIAH IMAMIAH




OLEH:
KOMUNITI SYIAH DI NEGERI KEDAH


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

MEMORANDUM BANTAHAN KOMUNITI SYIAH, KEDAH TERHADAP KERAJAAN NEGERI KEDAH BERHUBUNG SEMINAR YANG TELAH DIADAKAN WISMA SERI NEGERI PADA           25 OKTOBER 2011 DAN KEGIATAN-KEGIATAN LAIN YANG BERTUJUAN MEMBURUKKAN SYIAH DAN MENYANGGAHI MISI DAN VISI KEDAH SEJAHTERA.
            Setelah menyedari kepentingan kesejahteraan masyarakat yang dipopularkan oleh kerajaan negeri, kami komuniti Syiah di negeri ini menyampaikan memorandum secara berhemat dengan mengajukan beberapa perkara yang menyanggahi visi yang dipopularkan itu. Kami memandang setiap aspek, keluhuran perlembagaan negara dan artikel-artikel yang menjadi lunas perundangan negara bagi menjamin keselamatan yang menyeluruh. Oleh sebab itu, kami komuniti Syiah di negeri ini mengemukakan beberapa perkara yang bersabit dengan perilaku kerajaan negeri membelangkangkan segala yang termaktub sebagai lunas-lunas dan perundangan negara. Antaranya:
1)      Kami memandang serius terhadap kerajaan negeri Kedah yang bervisi dan misi kesejahteraan boleh memberi kerjasama dan merestui diadakan seminar yang bertujuan untuk memburukkan mazhab Syiah dan memanipulasikan isu-isu yang boleh membawa fitnah dalam masyarakat. Hal ini berpotensi mengancam masyarakat dan memecah belahkan keharmonian hidup umat Islam.
2)      Kami memandang berat tindakan kerajaan negeri dengan agensi-agensi agama bawah pentadbirannya menjadikan individu-individu tertentu untuk membicarakan persoalan mazhab Syiah yang luar dari peradaban dan tamadun setempat sehingga menimbulkan tanggapan negatif semata-mata. Masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini dihiasi dengan cerca serta maki hamun terhadap penganut mazhab tersebut.
3)      Kami komuniti Syiah berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan kerajaan negeri ini bahawa tindakan merestui, mengizinkan atau apa jua pengertian yang bertujuan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti negatif yang dianjurkan oleh agensi-agensi bawah pentadbirannya adalah sebagai mempersiapkan gelanggang pertempuran yang selama ini tidak pernah wujud sebelumnya dalam masyarakat ini.
4)      Kami komuniti Syiah berhasrat untuk menyedarkan kerajaan negeri ini bahawa kesejahteraan masyarakat adalah tanggungjawab pemerintah negeri ini dan agensi-agensi bawahnya. Sebarang tindakan yang menjurus kepada perubahan suasana adalah mengundang situasi negatif yang sukar untuk dikawal sehingga menyebabkan berlaku permusuhan dan pertumpahan darah seperti di beberapa buah negara yang komuniti yang bermazhab Syiah menjadi mangsa keganasan.
5)      Kami berhasrat untuk menyedarkan kerajaan negeri bagi menghentikan semua dakyah-dakyah buruk terhadap mazhab Syiah seandainya berterusan situasi atau kondisi ini, kerajaan negeri secara sedar atau tidak sedang menggali lubang kubur untuk menamatkan sesi pemerintahannya di negeri ini.
6)      Kami komuniti Syiah di negeri ini memohon kerajaan negeri ini bersedia dengan segala kejujuran untuk menangani isu kemazhaban ini secara bijaksana dengan apa juga langkah-langkah yang bersifat ilmiah dan keterbukaan yang menjurus kepada membina kerukunan hidup dan persaudaraan Islam.
7)      Kami komuniti Syiah di negeri ini menyeru kerajaan negeri supaya mengkaji, meneliti, meninjau dan mengambil konklusi yang sihat untuk mengetahui agen-agen zionis yang meresap di dalam masyarakat umat Islam dan dapat dijadikan keldai tunggangan untuk kepentingan kuasa besar dunia yang sentiasa menginginkan pertumpahan darah antara umat Islam dengan percaturan politik mereka yang paling licik.
8)      Kami komuniti Syiah di negeri ini berasa amat bimbang dengan segala aktiviti-aktiviti dan program-program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak dibawah agensi agama kerajaan negeri secara sedar atau tidak mempunyai agenda tersembunyi oleh mana-mana pihak-pihak yang telah diracuni pemikiran mereka oleh agen-agen kuasa besar atau seumpamanya.

LANGKAH-LANGKAH DI ATAS DIBUAT BERASASKAN KEPADA:
1)      Kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein yang telah disiarkan oleh beberapa buah akhbar tempatan yang menyebutkan ”Kewujudan Syiah tidak menjadi suatu ancaman kepada keselamatan negara, memandangkan tiada kegiatan militan dilakukan oleh kumpulan yang mengamalkannya.”-Arkib 20 Disember 2010 (pengarang@utusan.com.my).
2)      Kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Jamil Khir Baharom yang menyebutkan: TIADA SEKATAN BAGI PENGIKUT MENGAMALKAN AMALAN SYIAH, TETAPI PENYEBARAN AMALAN SYIAH DILARANG.-Akhbar Utusan Malaysia 10 Mac 2011, Berita Harian 10 Mac 2011, Sinar Harian edisi Utara 10 Mac 2011 dan disiarkan oleh media massa dan media cetak yang lain.
3)      Kenyataan Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Khairudin Zain: SYIAH DI KEDAH MASIH TERKAWAL DAN PIHAK JHEAIK MELAKUKAN PEMANTAUAN BERTERUSAN.-Akhbar Sinar Harian edisi Utara 19 Februari 2011.
4)      Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Agama dan Koperasi, Datuk Mohamad Taulan Bin Mat Rasul yang bertajuk: MENYIASAT FAHAMAN SYIAH PERLU BANYAK ILMU.-akhbar Sinar Harian edisi Utara 28 Mac 2011.
5)      Deklarasi Aman 2008 di Jordan yang ditandatangani oleh 552 orang negarawan, ilmuwan, cendekiawan dan para ulama mewakili 84 buah negara mengenai kesahihan untuk mengamalkan 8 mazhab yang diakui sebagai mazhab-mazhab dalam Islam iaitu Syafieyah,  Hanafiah, Malikiah, Hanabilah, Zahiriah, Jaafariah, Ibadiah dan Zaidiyah.
6)      Keputusan Muzakarah  Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah yang bersidang pada 24 dan 25 September 1984 yang menyatakan bahawa ‘hanya mazhab Syiah dari Golongan Al-Zaidiah dan Ja’fariah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia’ yang kemudiannya telah dimansuhkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 15 Januari 1997.
7)      Kenyataan-kenyataan positif mengenai Syiah yang telah dikeluarkan oleh para ulama terkemuka dunia termasuk Syuyukhul Azhar daripada Syeikh Mahmud Syaltut sampai kepada Syeikh Abdul Halim Mahmud dan para ulama serta cendikiawan lain seperti Dr. Hafna Daud, Mohammad Faham Al-Faham.


Memorandum ini adalah antara langkah yang berhasrat untuk mendesak kerajaan negeri Kedah mengkaji semula langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan sebarang hal yang bersifat kontradiksi dan percanggahan yang berpotensi mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat. Semoga memorandum ini mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri Kedah. Kami komuniti Syiah di negeri Kedah akan terus mengamalkan mazhab ini dalam lingkungan penganut kami sahaja, walaupun kami diburuk-burukkan , dicaci, dimaki hamun dan dikafirkan. Wa’iyazubillah. Harapan kami supaya suara minoriti ini akan didengari walaupun apa jua anggapan ke atas status diri kami oleh pihak kerajjan negeri Kedah dan agensi-agensi yang terlibat dalam pemerintahan negeri ini. Sekian, sebelum da sesudahnya kami ucapkan jutaan terima kasih.   



Yang benar,                                                                                             24 November 2011


...............................
(ABDULLAH BIN HASSAN)


Nota: Setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Syiah Kedah kerana mempertahankan
kesucian pegangan agama dari diperkotak-katikkan dan mengutamakan perpaduan umat
Islam sejagat,integrasi nasional dan kerajaan berperlembagaan.
2.Penghargaan kepada yang berkenaan sehingga dapat saya berkongsi memorandum ini.
3.Semoga pihak berwajib mengambil langkah-langkah yang rasional.
                                                  
SOLAWAT

No comments:

Post a Comment

Post a Comment