BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
RENCANA
Orang Syiah juga manusia - Badruddin Nasution
Pertamanya, saya tidak pernah ingat saat pertama kali saya menjadi Sunni. Saya lahir-lahir, saya dinyatakan sebagai Islam oleh ibu bapa saya. Bukan Sunni, bukan Syiah, bukan Muktazilah; hanya seorang Muslim. Malah sampai sekarang kalau ada orang tanya apa agama saya; saya pasti akan jawab Islam. Itulah yang akan saya katakan tanpa ragu-ragu.
Menjelang memasuki usia 20-an, saya mula membaca buku Ikhwanul Muslimin. Kebanyakannya adalah terbitan DPF. Lantas saya terpengaruh sebentar. Saya masih ingat ketika itu ada yang bertanya saya siapakah tokoh yang paling hebat di dunia (pada abad ke-20), saya akan jawab "Imam Hasan al-Banna"; apakah buku yang paling baik untuk dibaca (tentunya setelah al-Qur'an), saya akan jawab lagi, "Risalatu Ta'alim."
Tetapi, rupa-rupanya saya tidak puas di situ. Ada kekosongan besar tatkala bacaan Ikhwan tidak memadai untuk menjawab banyak persoalan saya yang bersifat intelektual. Kerana itu saya perlu mencari bacaan tambahan.
Kebetulan, dari rangsangan buku Kalim Siddiqui (Ke Arah Revolusi Islam), saya mula menekuni buku dari pemikir Iran. Nama Ali Syariati, adalah nama teratas dalam senarai bacaan saya.
Diikuti oleh Murtaza Mutahhari, dan beberapa nama lagi. Saya cuba membaca buku Imam Khomeini. Tetapi, biarlah saya nyatakan secara jujur di sini; saya kurang berminat. Tulisan Khomeini terlalu abstrak, sulit untuk saya fahami. Dalam rak buku saya, buku Khomeini adalah buku yang paling tidak tersentuh, dan buku Syariati adalah buku paling lusuh.
Tetapi, apa sebenarnya paling saya suka dari Syariati ini?
Paling saya suka ialah kemahirannya dalam membahaskan sebuah agama yang mempersonakan. Di tangan Syariati, agama bukan hanya mengikuti tradisi semata. Tetapi agama juga adalah melawan kepada tradisi itu sendiri. Maksud tradisi di sini ialah, sebuah status-quo politik.
Dalam pengalamannya, Syariati menggunakan agama sebagai sebuah bentuk perlawanan terhadap regim Shah Iran, yang merupakan status-quo politik ketika itu. Kerana itu, nama Abu Dzar selalu diulangnya. Sahabat Nabi ini adalah inspirasi utamanya. Tentunya sebagai seorang Syiah, Syariati turut terpengaruh dengan imam Syiah, terutamanya Imam Ali Abi Talib, Imam Husain dan seterusnya.
Dalam kata lain, Syariati tidak pernah menjadikan Syiah sebagai hambatan untuk beragama dengan menarik. Bahkan, dengan bahasa Syiah, Syariati lantang mengkritik agamawan di Iran ketika itu. Pada saya, agama yang revolusioner inilah menarik, berbanding agama versi Ikhwan, versi PAS dan kebanyakan versi harakah Islamiyyah lain.
Saya betul-betul teruja dengan Syariati, sama seperti saya pernah teruja dengan al-Banna. Di samping itu, pemikir berpendidikan Sorbonne inilah turut memberi saya bentuk agama yang menyegarkan.
Saya sungguh beruntung kerana mengenal sebuah versi Syiah radikal yang dapat menampung intelektualisme saya. Sebut saja nama pemikir barat (khususnya Perancis), Syariati berupaya mengupasnya dengan baik. Camus? Carrel? Fanon? Massignon? Semuanya adalah dalam hadamannya.
Malah, Syariati dapat mengadunkan pula pemikiran Islam Syiah ini dengan pemikiran barat. Hasilnya: Islam diangkatnya adalah Islam yang mengabungkan antara tradisi dan kemodenan. Bagi yang bergelut antara kepercayaan lama dengan persoalan baru, seperti yang saya alami ketika itu, Syariati dalam banyak segi membantu memberi kepuasaan ilmiah untuk saya.
Tetapi, dalam berlalunya usia, ternyata Syariati bukanlah penghentian terakhir saya. Dalam tempoh itu, buku Syariati makin tidak tersentuh. Sebaliknya buku pemikir barat mula melambak atas meja belajar. Bagaimana saya boleh berkenalan dengan buku pemikir barat ini? Saya mesti akui, bahawa saya berkenalan melalui Syariati, juga melalui pemikir Iran yang lain.
Mahu atau tidak, saya terhutang kepada pemikir Iran lagi. Mereka membawa saya membaca Lacan, Chomsky, Rorty, Benjamin, Derrida, Russell, dan lain-laini. Tidak dilupakan juga, pemikir Iran mutakhir yang juga saya baca secara bersamaan, seperti Kadivar, Soroush dan sebagainya.
Saya membaca pemikir Iran ini, kerana berminat untuk tahu mengenai apa kritik mereka terhadap agamawan di Iran. Saya tidak mahu mendengar dari mereka yang anti-Syiah, bagi saya rata-ratanya tidak objektif dalam bersikap. Tapi saya mahu mendengar "apa masalah Iran dan Syiah" daripada pemikir Iran dan Syiah itu sendiri.
Sekali lagi, saya mesti berterima kasih kepada pemikir baru dari Iran, yang semakin menajamkan pandangan saya terhadap apa dinamakan kekuasaan politik-agama. Sampai tahap ini, saya mula mempunyai sikap anarkis, dalam erti, saya sukar untuk percaya kepada mereka yang bermain dalam kekuasaan, sama ada golongan pemerintah mahupun golongan pembangkang.
Malah, pada satu titik terendah dalam pengalaman agama saya apabila saya mula mempersoalkan kewujudan tuhan. Saya mencari bacaan dari pemikir lama Syiah, seperti Mulla Sadra, Suhrawardi dan sebagainya. Tapi, saya turut gagal memperoleh jawapan memuaskan. Perasaan ingin tahu makna tuhan itu sangat bergelora dalam jiwa saya ketika itu.
Namun saya beruntung, ini bukan sebuah labirin buat saya. Dalam waktu mencari makna tuhan itu, saya turut memikirkan konsep kebaikan. Di situ saya membuat keputusan (sementara) bahawa tuhan itu sendiri adalah sebuah kebaikan. Di mana saja kita berada, dan apa saja baik yang kita buat, maka itu kita sudah bertuhan.
Mudahnya, bagi saya tuhan bukan sebuah objek; sebaliknya, tuhan adalah kebaikan itu sendiri. Semakin banyak kita melakukan kebaikan, maka semakin dekat kita dengan tuhan. Saya percaya begitu.
Malah, sikap ini masih teguh saya percaya sampai hari ini. Adakah saya seorang pluralisme dalam beragama? Saya tidak pernah peduli. Kosa kata pluralisme agama itu tidak penting bagi saya. Apa yang penting dalam kamus hidup saya ialah; berusaha sedaya upaya untuk membuat kebaikan, di mana-mana saja, bila-bila masa saja, kerana bagi saya kebaikan itulah tuhan yang sebenar-benarnya.
Adakah "rehlah ilmiah" saya akan terhenti pada di sini? Saya sendiri pun tidak tahu.
Saya mungkin akan berubah lagi. Dengan sifat saya yang suka mencabar pertanyaan sendiri; saya mungkin saja akan berubah lagi. Sebab saya juga sedang memikirkan suatu perkara; apakah hakikat kepada kebaikan itu sendiri; mengapa sesuatu itu dianggap baik sebagai baik? Persoalan ini, buat saya, adalah persoalan rumit. Kerana itu, saya akan terus mencari lagi. Saya tidak kisah sama ada perlu membaca sumber Marxisme, Syiah, Anarkisme, Sufi atau sebagainya.
Apakah saya tidak pernah penat dalam pencarian ini?
Tentu, saya juga tahu penat. Bagaimanapun saya puas kerana dapat menjadi diri sendiri. Saya juga puas kerana memperoleh pengalaman intelektual dari pembacaan dan pergelutan-dalaman yang tidak henti-henti. Setidaknya, saya boleh bersikap; jika saya melakukan sesuatu, maka saya mampu memberikan serba-sedikit penghujahan atas amalan tersebut. Itulah nikmat hidup bagi saya; iaitu memproses keimanan saya sendiri.
Lalu apa yang kekal dari pengalaman beragama saya ini?
Barangkali hanya satu saja; ketika orang bertanya apa agama saya; saya tetap saja akan terus menjawab "saya seorang Muslim". Saya yakin, saya sama sekali tidak menukar kata Muslim ini dengan Sunni mahupun Syiah. Bagi saya, menjadi Muslim bererti saya mencabar diri sendiri, termasuk sampai siap untuk menanyakan kewujudan tuhan itu sendiri. Saya punya keyakinan peribadi lagi, bahawa tuhan akan selalu mendengar pergelutan dalam sanubari hamba-Nya.
Justeru, apa faedahnya saya menulis cerita diri ini untuk khalayak? Saya menulis ini kerana saya sangat rimas dengan beberapa perkembangan terbaru. Saya sangat rimas akibat terlalu banyak momokan terhadap Syiah; malah, sampai mahu diharamkan. Saya sangat simpati pada golongan ini. Mereka selalu menjadi mangsa zaman, selalu menjadi korban fasisme-agama; namun menakjubkan, selalu juga bangkit-kembali.
Rupa-rupanya, betapa gigih pun kita berusaha untuk menghapuskan Syiah, ternyata Syiah memang tidak pernah terhapus. Dalam sejarah Islam itu sendiri, sudah berapa banyak kata "haram" ini hamburkan kepada mereka; mereka tidak juga pupus. Mengapa? Sebab, cara terbaik untuk menghapus sesuatu golongan bukan dengan pengharaman. Tetapi dengan beradu hujah.
Namun, kenapa Mukhriz Mahathir dan Mahathir Mohamad --yang bersetuju terhadap pengharaman Syiah-- tidak mahu menggunakan hujah (intelektual) dalam melawan Syiah ini? Saya hanya mempunyai satu jawapan yang munasabah: kerana pasangan anak-beranak ini secara tabiinya malas berfikir. Sebab itu mereka lebih suka bersembunyi di sebalik kuasa undang-undang. Lebih memalukan lagi, mereka bersemangat pula mengajak seluruh masyarakat untuk turut sama dalam malas berfikir.
Sangat menyedihkan, kerana ini wajah pemimpin masyarakat kita hari ini. Masyarakat kita diajak oleh pemimpinnya untuk malas berfikir dan selesa menyorok di belakang jubah kekuasaan. Simpati saya untuk semua orang Syiah, dan simpati saya juga kepada mereka yang memperjuangkan kebebasan beriman. Doa saya selalu bersama dengan mereka yang tertindas.
Ringkasnya; saya seorang Muslim, saya okay dengan Syiah. Mereka juga manusia, sama seperti kita. - 30 Julai, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Syiah Imamiah berlandaskan
ReplyDelete1. Al Quran
2. Hadith
3. Ijmak Ulama
4. Akal