Wednesday 16 May 2012

Pantun Sayyidah Fatimah az Zahra a.s / Kenyataan Kaunselor Kebudayaan Rep Islam Iran K.L





PANTUN

PUTERI NABI S.A.W

FATIMAH az ZAHRA

A.S

[1] JUAL
Ayahandanya Muhammad Rasulullah Nabi terakhir,
Bondanya Khadijah Ummul Mukminin yang sejati,
Diputerikan pada 20 JamadilThani yang dinanti,
Kedatangannya di alam ini memberi keberkatan yang hakiki.

BELI
Riang sungguh kicauan burung meniti pagi,
Mentari sinar bulan memancar, bintang berkedipan,
Fatimah Az-Zahra nama diberi oleh Ilahi,
Membawa kebahagiaan seluruh kehidupan.

[2] JUAL
Fatimah Az-Zahra puteri kesayangan Nabi dan Ummi,
Menjadi penyeri kehidupan Khadijah dn Rasulullah,
Kehidupan bersama bondanya singkat sekali,
Pabila Khadijah gering lalu kembali ke Rahmatullah.

BELI
Sugul sungguh bumi Mekah Makkatul Mukarromah,
Bila tersebar berita Khadijah usahawan dermawan,
Pedih dan pilu Rasulullah dan Fatimah,
Melayari kehidupan penuh kesedihan.

[3] JUAL
Hari demi hari berlalu pergi,
Dakwah Rasulullah jua tanpa henti,
Hazrat Fatimah Az-Zahra setia menanti,
Ke mana pergi Nabi sering diikuti.

BELI
Dunia fana penuh cubaan dan ujian,
Beitu juga dengan Rasulullah bila berdakwah,
Kejian dan cemuhan sering dilemparkan,
Fatimah Az-Zahra menjadi saksi hikmah.

[4] JUAL
Sungguh cantik rupawan wajahmu Az-Zahra,
Peneman setia Rasul tanpa mengira waktu dan tempat,
Ummu Abiha diberi gelaran oleh Rasulullah yang mulia,
Membawa maksud ibu kepada ayahnya yang hebat.

BELI
Saban hari Rasul ke luar memberi seruan kebenaran,
Sampai waktu berdepan dengan golongan musyrikin,
Hazrat Fatimah Az-Zahra menjadi sumber kekuatan,
Sakit pening Rasul diubati bersama mustad’afin.

[5] JUAL
Riuh rendah kedengaran di kota Mekah,
Puteri Rasulullah, Fatimah gadis sunti,
Ramai penguasa, jutawan cuba berlaga,
Untuk mendapatkan Az-Zahra menjadi suri hati.

BELI
Kekalutan untuk berebut menjadi menantu nabi,
Membuatkan Rasul berdoa dan bermunajat kehadrat Ilahi,
Mohon diberi petunjuk yang hakiki,
Akhirnya Amirul Mukminin Ali menjadi suami.

[6] JUAL
Ummu Aimmah diberi gelaran,
Maknya ibu kepada para ma’sumin,
Az-Zahra dan Imam Ali adalah pasangan,
Putera sulong mereka bernama Imam Hassan.

BELI
Sungguh suci dan tenang Kota Mekah,
Ramai datang kesana untuk ibadah haji,
Imam Husain putera kedua Imam Ali dan Az-Zahra,
Menjadi korban karbala sunnguh menyayat hati.

[7] JUAL
Haura Insiyyah juga namanya juga untuk Az-Zahra,
Bidadari syurga lembutnya nan indah,
Zainab Aqilah puteri Al-Murtadha dan Fatimah,
Srikandi karbala pembela Rasulullah.

BELI
Sinar mentari menyinari bumi,
Angin berlagu tiupan sayu,
Kewafatan Rasulullah khabaran sepi,
Buat Fatimah terasa hiba dan pilu.

[8] JUAL
Pabila Rasul dijemput Ilahi,
Bumi Mekah bergelora lagi,
Hazrat Fatimah penerusan Nabi,
Kecekalannya membantu perjuangannya Imam Ali.

BELI
Setiap detik berlalu pergi,
Tanpa disedari cepat sekali,
Az-Zahra berjuang tanpa gentar lagi berani,
Menghadapi musuh Rasul dan Imam Ali.

[9] JUAL
Hari bersilih ganti melihat anak-anak,
Membesar comel, cerdas sejuk hati,
Diluar rumah bergonjang sorak,
Menghina Imam Ali tanpa henti.

BELI
Musuh berlegar di sana-sini,
Bumi Mekah pula tidak aman lagi,
Hazrat Fatimah bingkas berkhutbah penuh berani,
Mempertahankan Imam Ali demi nur Ilahi.

[10] JUAL
Selang-seli enam purnama berlalu,
Saidatinnisa il’alamin gering sugul lesi,
Melihat pilu Imam Ali munajat pada Ilahi,
Zaujatinya berwasiat agar Imam berkahwin lagi.

BELI
Tiada siapa boleh melawan kuasa Tuhan,
Biarpun makhluk bumi dan juga langit cakerawala,
Kewafatan Az-Zahra penuh kesedihan,
Pengkebumiannya di malam hari perlu dibela!!! 

Dirakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemantun cikgu noona
dan penjual beli pantun KakNoorBLan dan Puan JeehahSham



KESATUAN PEMIKIRAN DAN KERJASAMA ANTARA MAZHAB

BERUPAYA MENJAYAKAN PERPADUAN UMMAT


Kesatuan pemikiran dan kerjasama antara mazhab berupaya jayakan perpaduan umat Islam
KAUNSELOR  KEBUDAYAAN


REPUBLIK ISLAM IRAN


Kuala Lumpur;




Musuh Islam sentiasa mendalangi perpecahan di 

kalangan umat Islam

Sempena sambutan ulangtahun kewafatan Saiyyidah Fatimah az-Zahra (s.a) baru-baru ini, Bahagian Perhubungan Awam, Pusat Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur telah mewawancara Dr. Ali Akbar Ziaee tantang beberapa perkembangan mutakhir khususnya isu pendekatan antara mazhab. 

Beliau berkata taqrib baina mazahib adalah tanggungjawab penting umat Islam di seluruh dunia bagi menjayakan perpaduan di kalangan masyarakat Islam yang mempunyai berbagai latar belakang ideologi. Tambahnya lagi propaganda pecah-belah dalam sebahagian media dieksploitasi demi melemahkan dunia Islam dan memberi ruang kepada golongan anti-Islam mempengaruhi masyarakat.

Dr. Ziaee selaku Kaunselor Kebudayaan Republik Islam Iran berkata, Islam adalah agama dialog, saling membantu dan kerjasama. Ayat al-Quran yang berbunyi, “Dan hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah" menyeru kita untuk bersatu padu. 
Menurut beliau, perpaduan Islam atau pendekatan mazhab bukan bermakna mengorbankan prinsip mazhab di dalam satu pemikiran atau menghapuskan salah satu daripadanya. Sebaliknya ia bermaksud dialog dan kerjasama yang berdasarkan ajaran hidup berunsurkan Islam dan keutamaan Al-Quran  yang beraspirasi ke arah masyarakat yang ideal atau al-Madinah al-Fadilah.

Umat Islam di Iran

Dr. Ziaee berkata, hari ini golongan Ahlul Sunnah mempunyai kedudukan yang sangat penting di Iran berbanding sebelum revolusi Islam. Bilangan pusat keagamaan, masjid dan sekolah mereka telah berkembang lebih daripada seratus peratus, tegasnya lagi. Beliau juga menambah golongan Ahlul Sunnah di Iran bebas menjalankan aktiviti keagamaan mereka berasaskan perlembagaan dan sokongan daripada pihak berkuasa Republik Islam Iran. 
Selain turut menganggotai badan penggubal dasar negara seperti Parlimen Islam Iran (Majlis-e Shura-e Islami), Dewan Pakar Kepemimpinan (Majlis-e Khubregan-e Rahbari) dan jabatan-jabatan kerajaan, Ahlul Sunnah juga bebas mengamalkan mazhab dan akidah mereka. Sekarang ini Ahlul Sunnah mempunyai sepuluh orang perwakilan di Parlimen dan tiga orang di Dewan Pakar, ujar beliau.

Selain itu, fekah Ahlul Sunnah juga diajarkan di beberapa pusat pengajian seperti di Universiti Tehran, Universiti Taqrib Mazahib dan Universiti Adyan va Fiqh di kota Qom. Pihak kerajaan juga turut membiayai semua sekolah dan masjid Ahlul Sunnah termasuk para guru dan imam mereka, tegasnya lagi.

Menghina dan Mencaci

Mengenai isu penghinaan terhadap kesucian mazhab lain di dalam Islam, Dr. Ziaee berkata, ianya tidak pernah diakui oleh para ulama di seluruh dunia Islam dan tidak menerima penghinaan yang dilakukan oleh sesama kaum muslimin. 

Sebagai umat Islam yang  meyakini  al-Quran yang satu, Nabi yang satu dan Kiblat yang sama, kita hendaklah menjauhkan diri dari wacana yang memecah-belahkan yang bertujuan melemahkan dunia Islam, kata beliau lagi.

Menurut Dr. Ziaee, Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran sentiasa menekankan perpaduan umat Islam dan telah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan cercaan dan penghinaan terhadap isteri-isteri Nabi (s.a.w).  Fatwa ini sekaligus menyokong perpaduan umat Islam dan pendekatan antara mazhab.

Sebagai contoh, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selaku badan kerjasama Islam sangat menekankan perpaduan dan menolak kenyataan-kenyataan yang boleh memecah-belahkan kesatuan umat. Para pemimpin dan agamawan mereka tidak pernah melaknat, menghina dan mengkafirkan antara satu sama lain, jelas beliau.

Tohmahan

Kounselor Budaya Republik Islam Iran itu berkata, tuduhan bahawa umat Islam Syiah telah menyelewengkan kitab suci al-Quran dan mempunyai al-Quran yang berbeza adalah berpunca daripada kurangnya pengetahuan terhadap Syiah. Sesiapa sahaja yang mengenali mazhab ini walaupun dengan pengetahuan yang sedikit, pasti akan mengetahui bahawa seluruh ulama Syiah secara ijmak telah menolak adanya penyelewengan terhadap kitab suci al-Quran, ujarnya lagi. Memang terdapat beberapa riwayat di dalam kitab hadis yang menyebut berlakunya tahrif, tetapi riwayat-riwayat tersebut adalah palsu dan dhaif, kata beliau. 

Dr. Ziaee menegaskan bahawa sekarang kita hidup di zaman di mana musuh-musuh Islam sedang menyasarkan akhlak dan akidah para pemuda kita, pemikiran seperti penyembahan syaitan melalui simbol pakaian yang berbeza, filem-filem yang tidak bermoral sedang berleluasa disebarkan di tengah masyarakat Islam.

Justeru menjadi tanggungjawab para ulama untuk saling bekerjasama mencari penyelesaian bagi menjaga keutuhan agama dan akhlak masyarakat, dan bukan menyibukkan diri dengan masalah khilafiyah, tegasnya lagi.

Menurut Dr. Ziaee, syarat utama untuk mencapai perpaduan umat Islam ialah dengan mengenali kefahaman sebenar antara mazhab Islam berdasarkan sumber-sumber muktabar, dan bukan pandangan salah pihak lain. Beliau juga menambah, untuk mempunyai pemahaman yang benar tentang mazhab Shafie, kita harus mengkaji sumber yang diterima oleh para pengikut Imam Shafie. Sebaliknya, ujar beliau, kita perlu merujuk kepada karya-karya Imam Shafie, Fakhruddin al-Razi, Al-Ghazali, Imam al-Haramayn al-Juwayni, al-Suyuti, Abu al-Hasan al-Asyari, dan lain-lain. Pandangan yang adil tidak akan diperolehi dengan merujuk kepada pandangan mereka yang tidak sealiran dengan beliau. 

Walau bagaimanapun, dalam setiap aliran mazhab, mungkin terdapat beberapa riwayat yang palsu dan lemah yang tidak diterima di sisi ulama mazhab itu sendiri, tegasnya lagi. Justeru, ia hadis yang lemah dan palsu tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada akidah tersebut. 
Sebagai contoh, seluruh pengikut Syiah percaya terdapat hanya satu al-Quran, dan itulah kitab yang wujud di kalangan kita semua dan dibaca setiap hari. Sesiapa yang mengatakan adanya al-Quran lain yang berbeza maka mereka mempercayai tahrif al-Quran dan para ulama Syiah secara ijma’ telah menolak kewujudan penyelewengan terhadap al-Quran, tegas Dr. Ziaee.

SOLAWAT

1 comment:

  1. inaugural visit friends, friendship greetings,
    blog is very beautiful and nice friends, and beautiful, I love and follow
    I would be happy if you also accept and follow my friendship, and following the return, even though we are different people but human beings need the friendship ... may be useful
    thank you ..
    Do not forget to stop by my friend, wait ..

    ReplyDelete