BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Konflik Syria bukan perang mazhab? — Ismail Hashim Yahaya
31 MEI — Pada 15 Mei lepas, dalam satu resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sejumlah 107 negara termasuk Malaysia menggesa supaya peralihan politik Syria segera dilakukan dan mengutuk kerajaan negara itu yang menggunakan senjata berat dan senjata kimia ke atas rakyatnya sendiri.
Adalah ternyata bahawa resolusi yang didukungi oleh Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS) dan Peranchis itu adalah berat sebelah.
Walaupun resolusi mengutuk penggunaan senjata berat dan senjata kimia yang dikatakan berleluasa dan perlanggaran hak asasi terpilih tetapi resolusi tidak mengutuk atau tidak menyebut sebarang perlanggaran hak asasi atau mengatakan mengenai pembunuhan kejam malahan penggunaan senjata kimia di pihak militant atau penentang kerajaan yang berjuang menentang regim Bashar al Assad.
Dalam hal ini, Malaysia tidak perlu mengundi menyokong resolusi tersebut atau berpihak menentang mengikut negara-negara seperti Rusia, China, Iran, Cuba dan 12 negara yang lain. Kerajaan hanya perlu bersikap berkecuali mengikuti negara seperti Indonesia, India, Afrika Selatan, Brazil dan 55 negara berdaulat yang lain.
Sebenarnya jika diteliti kepada jumlah sokongan dan sikap berkecuali negara-negara anggota PBB dalam resolusi pada 15 Mei lepas ternyata berbeza dengan resolusi yang dibuat pada Ogos 2012. Dalam resolusi baru-baru ini sejumah 59 negara mengambil sikap berkecuali berbanding dengan 31 negara pada Ogos tahun lepas.
Ini bermakna jumlah pengundian telah menurun dari 133 kepada 107 buah negara. Malaysia seharusnya menjadi negara ke-60 bersikap berkecuali.
Sehuhungan itu serangan udara Israel ke atas Syria tidak berapa lama dahulu yang menyasarkan kawasan simpanan senjata yang dipercayai menjadi himpunan senjata kimia memperlihatkan seolah-olah Israel telah mengetuai siri penentangan dan penaklukan ke atas regim Presiden Bashar al Assad.
Persoalan apakah pergerakan Islam yang mendukung kejatuhan Bashar sekarang telah bersama-sama pihak Zionis berjuang untuk menjatuhkan regim kejam ini.
Bagi umat Islam di negara ini mengulas mengenai Syria terasa agak sensitif. Isu yang akan keluar dengan kentalnya ialah persoalan mazhab sehingga seolah-olah umat Islam di negara ini telah menyimpulkan bahawa konflik di Syria adalah perang antara mahzab Sunnah dan Syiah.
Kita juga mengakui hakikat kekejaman bapanya Hafez dan juga Bashar melakukan pembunuhan ke atas penentangan politik regim dan melibatkan mereka yang tidak berdosa yang kebanyakan bermazhab Sunnah. Dapatlah diandaikan bahawa regim yang kejam dan tega membunuh para aktivis Islam itu sehinggalah menyebabkan ada yang menilai beliau lebih kejam dari Israel.
Tetapi agak naif jika kita menyimpulkan konflik yang berlaku di Syria sebagai perang mazhab. Negara-negara Islam tidak seharusnya terus terperangkap dalam agenda AS dan sekutunya dengan membataskan konflik Syria kepada perang mazhab yang akan menguntungkan pihak Barat dalam menguasai Syria dan wilayah serantau dengan memecahkan belah kepada kepuakan mazbah dan etnik seperti yang berlaku di Iraq sekarang.
Lubnan adalah mangsa seterusnya yang akan membawa kepada tercetusnya konflik mazhab dan etnik.
Saya rasa semacam wujudnya penetapan agenda dalam liputan media atau wacana contohnya dalam ceramah-ceramah yang diadakan di negara ini dan penyaluran dana untuk membataskan konflik di Syria kepada pemebelaan sesuatu mahzab sahaja. Di samping itu kedudukan pelarian Palestin juga agak terancam dalam perkembangan ini.
Kita dipinggirkan daripada memikirkan fakta bahawa kecenderungan Syria berhubung baik dengan Iran disebabkan oleh faktor geopolitik.
Pertanyaan saya, mengapa umat Islam tidak keluar dari kotak-kotak seperti ini? Konflik di Syria sangat jelas bukan sahaja melibatkan konflik mahzab tetapi agenda luas Barat hendak menguasai negara seperti Libya dan Syria yang bersikap anti-AS dengan tidak menyokong AS menyerang Iran.
Seperti pepecahan umat Islam yang berlaku di Iraq yang menguntungkan AS, sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Israel untuk menguasainya melalui pecah dan perintah. Situasi perpecahan seperti inilah yang justru menjadi bonus buat Barat yang ingin menggulingkan Bashar demi kepentingan mereka.
Namun, kekuatan propaganda Barat telah memberi keuntungan lain: semakin terpecahnya umat Islam melalui perdebatan dan penentangan mazhab semakin mudah agenda mereka menguasai Timur Tengah dan dunia Islam.
Apa yang agak lebih pelik ialah organisasi bersenjata Islam termasuk pengganas Al Qaeda dan kumpulan pengaruhnya (yang menentang AS dalam perang menentang keganasan) berdiri di barisan yang sama dengan sekutu AS-Israel-NATO untuk menentang satu musuh bersama iaitu Syria.
Syria dan Iran adalah dua buah negara yang menentang kekejaman AS di dunia Islam. Adakah ini bermakna negara-negara yang menentang kekejaman regim Bashar sekarang bersama-sama dengan sekutu AS-Israel-NATO menentang Syria?
Bukankah kita umat Islam juga menentang AS dalam kekejaman dan keganasannya ke atas negara dan umat Islam tetapi dalam konflik Syria bersama-sama sekutu AS-Israel-NATO menentang regim Bashar.
Adakah ini suatu kebetulan yang disengajakan?
Saya ingin mengutip satu dari sekian banyak analisis yang ditulis penganalisis Barat yang berusaha mengungkapkan apa yang sebenarnya terjadi di Syria.
Prof Michel Chossudovsky adalah salah seorang penganalisis politik Timur Tengah yang aktif menulis mengenai Syria.
Baginya perang hanya menguntungkan segelintir elit politik dan para industrialis perang (pembekal senjata, tauke minyak dan lain-lain).
Dalam tulisannya “Syria: NATO’s Next Humanitarian War”, Chossudovsky mengumpulkan data-data yang beliau perolehi dari sumber-sumber Barat sendiri yang membuktikan bahawa konflik di Syria adalah sebuah perancangan yang dilaksanakan sejak lama oleh perikatan AS-Israel-NATO.
Tetapi Syria bukan negara surgaloka di mana semua rakyatnya bersatu padu. Sejak awal lagi ia adalah hasil dari sebuah operasi sulit perisikan AS dan NATO yang bertujuan untuk mencetuskan kekacauan sosial dan mengucar kacirkan Syria.
Chossudovsky yang menulis sejak pertengahan Mac 2011 lagi menyatakan kelompok-kelompok Islam yang bersenjata secara rahsia didukung oleh perisikan Barat dan Israel dan mulai melakukan serangan-serangan keganasan ke atas kawasan perumahan, pejabat kerajaan dan masyarakat awam.
Apa yang menarik ialah Al Qaeda seolah-olah berada di sebalik serangan-serangan itu dan ini menunjukkan kepelikan dalam konflik di Syria bahkan AS bersedia bekerjasama dengan Al Qaeda demi menumpaskan Basher.
Chossudovsky menyandarkan bukti dari pernyataannya ini pada laporan dari the Arab League Observer Mission.
Selain itu, pemberitaan-pemberitaan dari media massa Barat sendiri menyentuh tentang kehadiran MI6 (Agensi persisikan Britain) dan CIA di Syria. Misalnya akhbar The Daily Star dari Lubnan melaporkan bahawa AS, Britain dan Turki membekalkan para pemberontak dengan senjata dan menyatakan bahawa “Syria mendukung Hizbullah dan hal ini mengancam Timur Tengah.”
Akhbar harian ini juga melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Britain mengesahkan bahawa Britain sedang menyusun rancangan sulit untuk menguatkuasakankan “no-fly zone” di Syria, namun perlu kebenaran dari PBB.
Tapi apabila sokongan PBB tidak juga diperolehi ia memaksa NATO bertindak. Akhbar The Daily Star juga meramalkan bahawa pertempuran di Syria akan lebih besar dan lebih banyak pertumpahan darah daripada di Libya.
Kini mari kita lihat apa yang ditulis oleh seorang wartawan bebas bernama Thierry Meyssan. Fakta menarik yang dilaporkan Meyssan dalam salah satu tulisannya iaitu salah seorang pemimpin FSA (Tentera Pembebasan Syria) ialah Abdel Hakim Belhaj.
Siapa Belhaj? Dia adalah pemimpin Al Qaeda tersohor di Libya, menjawat sebagai Gabernur tentera di Tripoli. Penemuan Meyssan ini seiring dengan penemuan Chossudovsky (dan kemudian juga diakui terang-terangan oleh Mantan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton bahawa Al Qaeda berada di tengah-tengah para pemberontak Syria).
Ada banyak lagi kejanggalan yang ditemukan dalam konflik Syria, yang tidak berkaitan dengan agama dan mazhab.
Jika kita tidak berhati-hati, akhirnya kita akan melakukan lebih banyak kerosakan kepada umat Islam daripada kebaikan. Racun pepecahan mahzab dan konflik sesama Islam telah disebarkan oleh sekutu AS-NATO-Israel.
Kita tidak menafikan kekejaman Bashar ke atas umat Islam di negaranya dan gerakan penentangan yang dipimpin oleh Ikhwan muslimin satu ketika dahulu.
Tetapi jika umat Islam tidak berhati-hati, kita akan jatuh terperangkap dengan mainan kuasa besar yang akan membawa kepada pepecahan umat Islam. Lihatlah apa yang telah berlaku ke atas Libya dan Iraq dan sedang berlaku ke atas Syria, Pakistan, Bahrain, Yaman, Sudan dan beberapa negara Islam lain.
Tindakan keganasan Israel ke atas Syria sekarang telah mendedahkan penipuan kumpulan-kumpulan anti Syria seperti FSA yang mendakwa berjuang untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Israel telah menjadi penyelamat kepada mereka dengan menyediakan perlindungan udara yang mencukupi kepada kumpulan-kumpulan pemberontak Islam nasionalis tersebut.
Kita juga tidak mahu kumpulan bersenjata Islam seperti Jabhat ul-Nusra dan kumpulan penentang lain terperangkap dalam agenda Israel.
Seperti dijelaskan di atas untuk difikirkan bersama dalam konflik di Syria atau juga penentangan terhadap mazhab syiah, gerakan Islam dan umat Islam berada bersama-sama Israel (walaupun agenda Israel adalah pepecahan umat Islam) berhadapan dengan musuh yang sama: Bashar al Assad.
Perkembangan terkini menunjukkan kumpulan penentangan bersenjata FSA sedang kehilangan pejuang dan keupayaan kerana kebanyakan mereka telah menyertai kumpulan Jabhat al-Nusra.
Bukti-bukti penyertaan ramai itu diperolehi daripada temubual akhbar The Guardian dengan komander FSA di Syria yang menjadi dilema kepada AS, Britain dan kerajaan Barat yang lain.
Ini juga termasuk sebahagian besar para pemimpin negara-negara Islam yang mendukung Barat untuk menggulingkan Bashar al Assad.
Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku bertujuan demi menyelamatkan negara haram Israel dan pergerakan Islam termasuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islam dan Hizbullah serta Iran.
Kita tidak mahu nanti sekutu AS-Israel-NATO akan ketawa kerana usaha mereka menggulingkan Bashar dengan bantuan umat Islam telah menerima bonus berganda-ganda: perpecahan Syria kepada wilayah-wilayah baru di bawah kuasa-kuasa Barat seperti AS, Israel, Britain dan Peranchis.
Ancaman terbesar terhadap Israel ialah menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya.
Kerajaan Uthmaniyyah baru iaitu Turki yang bermazhab Hanafi telah diseret masuk ke dalam pertelagahan ini untuk dilagakan dengan pengikut mazhab Syiah Imamiyyah yang ramai penganutnya di Iran, Iraq dan Selatan Lubnan. Terdapat ramai rakyat Syria yang beretnik Kurdis yang turut bersimpati dengan regim Bashar dan berjuang dengan etnik Kurdis di wilayah Turki.
Ini tentu akan menjadi duri dalam daging kepada Perdana Menterinya Reccep Tayyip Erdogan.
Kepada mereka yang dapat membaca dan meneliti medan politik antarabangsa perlu memahami bahawa perhubungan antarabangsa perlu dibaca dengan dua aspek iaitu yang bersurat dan yang tersirat.
Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.