YAN - Umat Islam di negara ini perlu memperkukuhkan akidah serta mempunyai maklumat mengenai fahaman Syiah agar tidak mudah terpesong dengan ajaran itu.
    
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha untuk mengekang fahaman Syiah tidak pernah terhenti di tengah jalan malah ia perlu terus dipergiatkan semua pihak.
    
Beliau berkata, antara usaha yang dilakukan adalah seperti penganjuran seminar mengenai bahaya fahaman Syiah, ceramah di sekolah dan universiti serta khutbah Jumaat sebagai cara untuk 'menyegarkan' minda masyarakat dengan kesan fahaman itu.
    
"Hari ini ramai tidak baca buku. Mereka peroleh maklumat menerusi di hujung jari dan bebas untuk akses maklumat tanpa semapadan. Kalau akidah tidak kuat boleh terjebak dengan fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
    
"Orang Islam perlu ada kesedaran dan saling menyampaikan pesanan mengenai bahaya Syiah kepada orang lain terutamanya pelajar sekolah dan universiti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Membara Semarak Usahawan Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Parlimen Jerai di Guar Chempedak di sini, hari ini.
    
Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap mereka yang dipercayai giat menyebarkan fahaman yang diharamkan di negara ini kepada orang ramai melalui pelbagai medium. - Bernama