Sunday 4 August 2013

Hari Al-Quds Sedunia 2 Ogos 2013 di Masjid Tabung Haji kuala Lumpur


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM






Al Quds: Perjuangan yang dilupakan

Zainal Abidin Nor
 | August 4, 2013
Perjuangan untuk membebaskan Masjid Al Aqsa adalah perjuangan seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.
Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis masih berada dalam cengkaman Israel. Masjid Al Aqsa adalah merupakan salah sebuah dari tiga buah masjid yang paling mulia dalam Islam, selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Malahan Masjid Al Aqsa disemadikan dalam al Quran ketika Allah SWT mengisahkan perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.  Ayat 1 Surah Al-Isra’ mengisahkan peristiwa di mana firman Allah yang bermaksud: “Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami.
Ketidakpedulian umat Islam tentang Masjid Al Aqsa dan tidak ada keinginan untuk membebaskan masjid itu dari cengkaman Yahudi adalah manifestasi rendahnya iman dan kejahilan umat Islam hari ini.
Apabila sekumpulan kira-kira 100 aktivis sosial yang berhimpun di perkarangan Masjid Tabung Haji Jumaat lalu untuk menyatakan keperihatinan dan meluahkan kemarahan mereka terhadap kekejaman Zionis Israel maka ada pula seorang dua orang Melayu-Islam yang mencemuhnya.
Perisytiharan hari Jumaat terakhir bulan Ramadan sebagai hari pembebasan Al Quds dan Baitul Maqdis dipelopori oleh Imam Khomeini, arkitek yang melancarkan revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 sehingga tergulingnya kerajaan Shah Reza Pahlavi yang menjadi boneka Amerika Syarikat itu.
Pada hari itu selepas solat Jumaat, beberapa individu yang tidak bertanggungjawab bertindak mencaci maki dan menghina beberapa orang Sahabat Rasulullah SWT dengan menyebut nama mereka dengan tujuan untuk memalitkan tindakan itu kepada ajaran Syiah yang kononnya salah satu ciri Syiah ialah mengutuk para Sahabat.
Kita khuatir tindakan seorang dua individu ini adalah ekoran dari tindakan kerajaan memerangi ajaran Syiah habis-habisan sehingga ada yang menghukumkan pengikut Syiah itu kafir dan bukan setakat sesat.
Inilah kesan awal atau boleh dianggap sebagai insiden terpencil di mana kerajaan telah berjaya menanamkan bibit-bibit kebencian terhadap mazhab lain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni); mungkin juga tanpa mereka sedari.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin menyatakan bahawa Syiah yang terdapat di Iran, Iraq dan selatan Lubnan adalah sah berada dalam ajaran Islam maka sebab itu mereka dibenarkan menunaikan haji di Mekah.

Kebenaran ajaran Syiah

Kebenaran ajaran Syiah diakui oleh beliau juga adalah berdasarkan pandangan para ulama Sunni. Oleh itu kita jangan cuba bertindak secara melulu dan jangan mudah pula menjatuhkan hukum.
Namun hajat sekumpulan aktivis itu termasuk beberapa orang rakyat Pakistan yang berkumpul di Masjid Tabung Haji untuk berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah pendudukan dan penguasaan Israel ke atas Masjid Al Aqsa tidak kesampaian atas sebab-sebab keselamatan.
Kita harus memahami bahawa perjuangan untuk membebaskan Masjid Al Aqsa dari cengkaman Yahudi itu bukanlah perjuangan sesuatu mazhab atau kumpulan sahaja, walaupun ianya dipelopori oleh Imam Khomeini.
Perjuangan untuk membebaskan Masjid Al Aqsa adalah perjuangan seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada; tanpa mengira batas mazhab dan fahaman politik. Dalam menangani perkara ini, kita perlu bebas dari dibelenggu oleh perasaan taksub atau fanatik.
Untuk makluman pembaca, kerajaan sendiri telah menubuhkan Yayasan Al-Quds Malaysia dan telah dilancarkan secara rasmi pada 18 Jun 2012 di Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peristiwa yang mencetuskan penubuhan Yayasan al-Quds atau Al-Quds International Foundation ini ialah peristiwa Intifadah al-Aqsa 28 September 2000 di mana Ariel Sharon (Perdana Menteri Israel ketika itu) telah menceroboh Masjid al-Aqsa dengan diiringi oleh 2000 tentera Israel. Keadaan ini mencetuskan intifadah (kebangkitan) rakyat Palestin setelah intifadah yang pertama pada tahun 1987.
Intifadah ini menyaksikan ribuan rakyat Palestin dibunuh oleh rejim Zionis termasuklah pembunuhan ke atas Muhammad Ad-Durra (10 tahun) yang ditembak bersama bapanya dan disaksikan oleh seluruh dunia dari siaran rakaman jurufoto Perancis.
Tertubuhnya QII
Maka pada tahun 2001 satu pertemuan telah disusun di Beirut untuk mendapatkan sokongan umat Islam bagi melindungi Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis. Tertubuhlah Al-Quds International Institute (QII).
Wakil dari Malaysia yang dijemput dan berucap ialah Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang . QII ini dinaungi oleh Prof Dr. Yusuf Qardhawi, mufti Qatar.
Di antara matlamat penubuhan QII ialah untuk menghentikan proses pengyahudian Baitul Maqdis di mana pelbagai usaha termasuklah mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara abadi Israel, membina al-Quds envelope (Madinah Kadima – kota lama) yang dikelilingi oleh tembok pemisah dan pintu masuk antarabangsa (yang memerlukan pasport dan visa).
Ini termasuklah membatalkan lebih dari 13,000 penduduk yang mendiami Baitul Maqdis dibatalkan status residen mereka dan diusir dari kota raya Baitul Maqdis.
Matlamat lain ialah untuk membantu mengekalkan rakyat Palestin di sekitar Baitul Maqdis dengan membantu mereka mendirikan semula rumah-rumah dan sekolah melalui housing/schooling project, pelbagai projek untuk memperkasa ekonomi rakyat Palestin di Baitul Maqdis, juga termasuk melindungi Masjid al-Aqsa dan membaik pulih kondisi masjid yang banyak rosak akibat agresi Zionis/penggalian terowong.
QII juga bertujuan untuk menyatukan umat Islam dan menghantar mesej yang jelas kepada Israel bahawa Baitul Maqdis bukan milik Arab dan milik Palestin tetapi milik seluruh umat Islam – maka Israel akan berhadapan dengan dunia Islam dan bukan sahaja Palestin dalam soal mempertahan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis.
Kita perlu memahami dan menghayati matlamat Al Quds ini supaya umat Islam dapat bersatu dalam memperjuangkan pembebasan Al-Quds dan bukannya kita mencemuh tindakan orang lain yang mahu menunjukkan rasa prihatin terhadap isu ini.
Kerajaan juga berperanan untuk mendidik rakyat dengan menyampaikan maklumat yang betul dan benar dan bukannya dengan menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap sesuatu mazhab sehingga boleh mencetuskan ketegangan; di sini bukan di antara kaum tetapi di kalangan umat Islam sesama sendiri.
KUALA LUMPUR
KEDAH DARUL AMAN
SOLAWAT

No comments:

Post a Comment